Tuduhan pasukan keselamatan bertindak ganas tidak benar - Utusan Malaysia

Tuduhan pasukan keselamatan bertindak ganas tidak benar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA – Kementerian Dalam Negeri menafikan serta membidas dakwaan bahawa pasukan keselamatan bertindak ganas dalam menangani isu rusuhan di Kuil Sri Mariamman Seafield, USJ 22 di sini oleh media-media dari India.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin meluahkan kekecewaan serta menegaskan bahawa laporan-laporan tersebut yang mendakwa berlakunya tindakan penyembelihan serta pembunuhan dalam kejadian rusuhan di kuil berkenaan adalah bohong dan tidak benar sama sekali.

“Walaupun ada pihak di sana telah menyerahkan memorandum berhubung dakwaan itu kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai, saya merasakan bahawa kita harus harus menolak memorandum tersebut dan minta Kementerian Luar Negara membuat bantahan pada kedutaan India di sini.

“Ia memberi satu imej yang buruk kepada negara dan mereka di sana tiada hak untuk mencampuri urusan dalam negara kita,” katanya pada satu sidang akhbar selepas melawat kawasan kuil, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd.

Muhyiddin berkata, dakwaan-dakwaan tersebut adalah satu pembohongan serta menggesa agar ia ditarik semula.

“Kejadian ini langsung tidak melibatkan warganegara India dan saya harap agar rakyat tidak terpengaruh dengan tuduhan sedemikian.

“Ia akan mengeruhkan lagi keadaan sekiranya rakyat terhasut dengan perkara itu dan kita bantah sekeras-kerasnya apa yang berlaku,” tegasnya.

Terdahulu, perbincangan dengan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia telah diadakan susulan penyerahan memorandum tersebut oleh Presiden Hindu People’s Party, Arjun Sampth kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai, Rabu lalu.

Wisma Putra dalam satu kenyataan kelmarin berkata, memorandum daripada parti yang juga dikenali sebagai Hindu Makkal Katchi itu mengutuk insiden terbabit dan mendakwa kerajaan bersikap berat sebelah terhadap penganut Hindu di Malaysia selain tidak mengambil sebarang tindakan berhubung insiden tersebut. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN