JOHOR BAHRU 11 Dis. – Semua pendeposit dan pihak yang berkepentingan mempunyai hak untuk mengetahui keadaan sebenar tentang kedudukan serta amalan kewangan Tabung Haji, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Justeru, beliau menyokong dan menyambut baik saranan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan segera bagi menyiasat, mengesah dan menerangkan secara telus dan terperinci berhubung isu itu.
Ini kerana, katanya, Tabung Haji merupakan satu institusi awam yang sangat kritikal kepada orang Melayu dan Islam sekali gus tidak harus ada sebarang kompromi serta dolak-dalik dalam memberi pencerahan berhubung isu itu.
“Sekiranya didapati ada salah laku dalam tadbir urus atau penyelewengan, maka pihak yang terlibat mestilah disiasat dan dibawa ke muka keadilan dengan tegas.
“Dan jika tidak ada salah laku atau penyelewengan, sebaliknya hanyalah satu perbezaan standard atau amalan dalam proses perakaunan dan audit, penjelasan serta penerangan yang penuh dan benar juga mesti dilakukan,” katanya dalam kenyataan di sini sebentar tadi.
Beliau yakin melalui RCI, siasatan yang telus serta tidak berpihak akan dapat dilakukan selain ia merupakan forum terbaik untuk menentu sah kebenaran dan kedudukan sebenar perkara tersebut. – UTUSAN ONLINE









