KUALA LUMPUR 17 Dis. – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mencari dalang sebenar yang mengorbankan nyawa anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim, ketika bertugas dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada 27 November lalu.
Presiden Perkasa, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, penubuhan suruhanjaya itu penting untuk mencari keadilan sepertimana usaha yang sama dibuat untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock.
“Jika kes ini berlaku kepada orang bukan Melayu, pasti riuh rendah mendesak untuk tubuhkan RCI.
“Perkasa mendesak kerajaan mengumumkan penubuhan RCI bagi menyiasat kes kematian Muhammad Adib dalam tempoh 48 jam. Sesiapa yang bertanggungjawab mesti terima hukuman setimpal,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.
Jelasnya, tiada alasan boleh diberikan oleh kerajaan untuk menolak penubuhan RCI bagi menyiasat kematian anggota bomba tersebut.
Dalam kenyataan itu juga, Ibrahim berkata, Perkara turut melahirkan rasa sedih terhadap apa yang berlaku dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Adib. – UTUSAN ONLINE










