PUTRAJAYA – Malaysia sentiasa bersedia menghulurkan bantuan terutamanya aktiviti mencari dan menyelamat mangsa dalam kejadian tsunami yang berlaku di Selat Sunda, Indonesia, pada Sabtu lepas, kata Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
Nadma dalam satu kenyataan hari ini berkata, agensi itu melalui Pusat Kawalan Bencana Negara dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) memantau kejadian itu melalui Badan Penanggulangan Bencana Indonesia (BNPB), ASEAN Coordinating Centre for Humanitarian Assistance on Disaster Management (AHA Centre) dan UN Office for the Coordination of Humanitarian Affairs (UNOCHA).
Menurut Wisma Putra, Indonesia masih belum membuka ruang untuk bantuan antarabangsa kerana berpandangan respons masih memadai dengan kapasiti dalaman negara dan skala kejadian tsunami ini masih boleh diuruskan oleh BNPB dan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) kata Nadma.
Menurut Kedutaan Malaysia di Jakarta pula, skala tsunami itu kecil berbanding kejadian yang telah berlaku di Lombok dan Palu.
“Pihak kedutaan akan berbincang dengan Kementerian Luar Indonesia berkaitan bantuan yang boleh dihulurkan Malaysia,” kata Nadma yang turut menzahirkan rasa simpati kerajaan Malaysia terhadap kejadian tsunami yang berlaku di Selat Sunda itu. – Bernama










