JAKARTA – Tsunami yang berlaku di Selat Sunda tanpa disebabkan gempa bumi kini mengorbankan lebih 200 nyawa.
Berdasarkan data yang dikeluarkan Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNBP) setakat 4 petang ini, korban akibat tsunami itu kini seramai 222 orang, 843 cedera dan 28 dilaporkan masih hilang.
Menurut Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat BNPB, Sutopo Purwo Nugroho, sebanyak 556 unit rumah dilaporkan musnah, 9 unit hotel mengalami kerosakan teruk, 60 rumah kedai rosak, 350 kapal dan perahu musnah.
“Tidak ada korban warga negara asing. Semua warga Indonesia. Korban dan kerosakan ini meliputi di 4 kabupaten iaitu Kabupaten Pandeglang, Serang, Lampung Selatan dan Tanggamus,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Jumlah berkenaan dikhuatiri terus meningkat kerana pasukan mencari dan menyelamat masih belum dapat memasuki semua kawasan yang terjejas akibat tsunami itu. – Bernama










