Tony hadiahkan pelajar tiket ke Mekah bawa ibu bapa - Utusan Malaysia

Tony hadiahkan pelajar tiket ke Mekah bawa ibu bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS 9 Dis. – Kisah inspirasi seorang pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini yang terlalu mengimpikan untuk membawa kedua ibu bapanya ke Mekah, mengusik jiwa Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dalam program Executive Talk bersama warga universiti itu dekat sini petang ini.

Kebaikan dan keiklasan Muhammad  Rifqi Saipul Nizam, 18, pelajar Diploma Pengajian Islam
(Dakwah) yang merupakan anak sulung daripada empat beradik terhadap kedua orang tuanya itu
membolehkan dia terpilih menerima hadiah ‘terbesar’ daripada Tony berupa tiga tiket
penerbangan percuma ke tanah suci.

Muhammad  Rifqi yang masih terkejut dengan pemberian itu sama sekali tidak menyangka
impiannya sejak kecil itu akhirnya direalisasikan hari ini menerusi perkongsian yang dibuat dalam
sesi soal jawab pada program tersebut.

“Alhamdulillah, benar kata orang, rezeki itu tidak pernah tersalah alamat. Saya bersyukur dan
berterima kasih kepada Tan Sri atas hadiah yang paling bermakna bukan sahaja untuk saya tetapi
juga emak, Mariam Daud, 44, dan ayah, Saipul Nizam Jusoh, 44.

“Sejak kecil saya ingin ke Mekah. Setiap hari saya akan tanya emak mengenai pengalamannya
ketika di sana, bagaimana keadaan cuaca, suasana dan lain-lain cerita memandangkan emak
pernah pergi dua tahun lalu. Syukur alhamdulillah, Allah bagi saya rezeki ini,” katanya kepada
pemberita selepas program itu.

Terdahulu itu, Muhammad  Rifqi yang berasal dari Kampung Sura Tengah, Dungun berkata, dia
merupakan orang pertama yang bangun bertanyakan soalan kepada Tony yang juga Ahli
Lembaga Pengarah UniSZA dalam sesi itu.

“Saya tanya apakah inspirasi beliau hingga boleh membuka syarikat penerbangan. Saya turut
kongsikan yang inspirasi saya adalah emak dan ayah, setiap hari saya tengok gambar mereka
dan memasang hajat untuk bawa mereka berdua ke Mekah.

“Selepas habis sesi itu, Tan Sri panggil saya ke hadapan dan mengumumkan untuk
menghadiahkan tiket penerbangan buat saya, emak dan ayah ke Mekah. Beliau mengatakan saya
telah beri inspirasi dan membuatkannya gembira,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN