KUALA LUMPUR 19 Dis. – Syarikat utiliti kebangsaan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan mengkaji mekanisme terbaik sama ada untuk meneruskan projek jalur lebar mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Azman Mohd berkata, pihaknya masih belum mempunyai keputusan muktamad berhubung perkara itu.
Malah, katanya, ketika ini, TNB sedang berbincang dengan kementerian berkaitan berhubung projek tersebut.
“Kami belum membuat sebarang keputusan lagi, cuma saya mahu katakan bahawa projek perintis yang dilaksanakan di Jasin, Melaka secara teknikal telah berjaya.
“Saya rasa anda akan mengetahui lebih lanjut pada Januari depan. Insya-Allah,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Integriti TNB 2018, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis serta Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie.
Sebelum ini, TNB melaksanakan projek perintis jalur lebar mereka di Jasin, Melaka menggunakan kemudahan teknologi fiber optik milik syarikat utiliti berkenaan.
Projek rintis yang dijangka siap pada akhir 2018 meliputi 1,100 daripada 4,300 kediaman di tiga kawasan iaitu Taman Merbau, Taman Maju dan Felda Kemendor, di Jasin, Melaka.
Melalui projek berkenaan, TNB akan meneroka potensi menggunakan kapasiti aset telekomunikasi kami yang sedia ada bagi Pelan Ketersambungan Kebangsaan (NCP). – UTUSAN ONLINE









