PAGOH 30 Dis. – Daerah Muar dijangka berupaya menjadi penyumbang industri terpenting di negeri ini menjelang tahun 2020 susulan kerancakan projek tapak perindustrian yang giat dibina di sekitar Bandar Universiti Pagoh di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Per- dagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata, projek seluas hampir 96 hektar yang bakal siap dalam tempoh dua tahun lagi itu berpotensi untuk dibangunkan dengan konsep hijau lestari.
Katanya, projek itu berkebolehan menjadi peneraju utama sektor perindustrian terhadap Johor lantaran kelebihan yang terdapat di sekitar kawasan berkenaan.
“Tapak industri ini berhampiran dengan universiti akan memberi kelebihan kepada pemilik yang merebut peluang ini sebab tempat lain tiada kemudahan ini.
“Ini memudahkan usahasama kedua-dua pihak sekiranya pemilik kilang mahu mendapatkan khidmat kepakaran ataupun tenaga kerja daripada graduan universiti ini,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas melawat Tapak Perindustrian Sime Darby, Pagoh di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir, Pegawai Daerah Muar, Mohd. Haffiz Ahmad; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM), Mustaffa Kamal Samsudin dan Pengurus Pembangunan Sime Darby Properties Sdn. Bhd., Zaini Md. Lazan.
Wee Tse berkata, selain itu, kedudukan Bandar Universiti Pagoh yang terletak kira-kira 25 kilometer dari Muar dan dua kilometer dari susur keluar Lebuh Raya Utara-Selatan serta Plaza Tol Pagoh turut memberi kelebihan dalam menjadi pemangkin bagi membawa perubahan positif terhadap sosioekonomi setempat khususnya di Pagoh dan Panchor.
“Pelaksanaan projek ini juga diyakini berpotensi merancakkan agenda kerajaan negeri dalam misi untuk memberi tumpuan kepada pelaburan berdasarkan 3H iaitu high-technology, high-value dan halal industry menjelang 2019,” katanya.










