KLANG – Hasrat tiga lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia menyusup keluar untuk pulang ke kampung halaman tidak kesampaian selepas ditahan dalam Ops Pensura di Tanjung Harapan dekat sini semalam.
Kesemua PATI berusia 33 hingga 42 tahun itu ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) pukul 12.45 tengah hari.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Khairuddin Jamal berkata, mereka ditahan selepas pihaknya mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan meluncur laju di perairan tersebut.
Katanya, pemeriksaan mendapati tiga lelaki warga Indonesia berusia 33 hingga 42 tahun tidak memiliki dokumen yang sah selain tinggal lebih masa.
“Hasil siasatan mendapati ketiga-tiga PATI tersebut hendak pulang ke Indonesia dengan transit di Pulau Ketam.
“Kita percaya mereka menaiki bot dari jeti penambang Pelabuhan Klang ke Pulau Ketam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau menambah, soal-siasat terhadap mereka juga mendapati mendakwa telah membayar RM850 kepada seorang tekong darat semasa di jeti penambang tersebut.
Khairudin menjelaskan ketiga-tiga PATI telah dibawa ke markas operasi PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – K! ONLINE










