PORT DICKSON – Seorang pelatih Akademi Laut Malaysia (Alam) antara tiga yang maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Bukit Tembok-Pasir Panjang dekat sini petang tadi.
Dalam kejadian pukul 4.10 petang itu, mangsa yang maut ialah pelatih Alam, R. Piravin, 25, yang memandu kereta jenis Honda Accord dan penunggang sebuah motosikal, R Sarawanan, 29, serta pemboncengnya, Norazli Kassim, 37.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, kemalangan berlaku apabila motosikal dari arah Pasir Panjang ke Telok Kemang itu hilang kawalan sewaktu tiba di lokasi kejadian.
“Motosikal itu hilang kawalan dan kereta Honda Accord di belakangnya cuba mengelak, tetapi terlanggar motosikal tersebut dan kemudian merempuh bas kilang yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat pelanggaran tersebut penunggang dan pembonceng motosikal serta pemandu kereta maut di tempat kejadian,” Katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Selain itu, Aidi Sham berkata, pemandu bas kilang berusia 53 tahun bersama dua penumpang masing-masing berusia 40 serta 27 tahun cedera ringan.
Kata beliau, mayat mangsa yang maut di hantar ke Hospital Port Dickson untuk tujuan bedah siasat dan mangsa yang cedera turut dihantar ke hospital itu bagi menerima rawatan.
“Kes kemalangan ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE











