Tiga lelaki curi kabel di Putrajaya diberkas - Utusan Malaysia

Tiga lelaki curi kabel di Putrajaya diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 22 Dis. – Sindiket curi kabel di sekitar Putrajaya tumpas selepas tertangkapnya tiga lelaki ketika cuba mencuri kabel di bilik generator di sebuah apartment di Presint 18, awal pagi tadi.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek itu ditahan selepas penduduk yang menyedari kegiatan kumpulan itu bertindak mengunci pintu bilik generator dan menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, dalam kejadian pada pukul 2 pagi itu, polis merampas pelbagai peralatan dipercayai untuk kegunaan memotong kabel dan siasatan lanjut mendapati dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

“Ketika ditahan di bilik generator itu, polis menemukan pelbagai perkakas untuk memotong kabel yang diletakkan di dalam satu beg berwarna biru. Dua set kunci juga turut dirampas bersama suspek.

“Dua set kunci itu merupakan kunci dua kereta Perodua Myvi yang dibawa oleh suspek. Pemeriksaan di kereta turut peralatan seperti spanar dan pemutar soket,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Menurut sumber, polis turut merampas sebuah kotak plastik lutsinar yang mengandungi serbuk kristal yang disyaki dadah jenis syabu seberat 1.56 gram di dalam salah sebuah kereta Myvi tersebut.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tiga suspek lelaki itu oleh anggotanya awal pagi tadi.

“Kes disiasat Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana mencuri kabel dan Sekyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN