Tidak wajar lanjut tempoh Yang Dipertua Negeri - Utusan Malaysia

Tidak wajar lanjut tempoh Yang Dipertua Negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 11 Dis. – Parti Bersatu Sabah (PBS) menzahirkan kerisauan berhubung dakwaan kerajaan negeri Parti Warisan Sabah (Warisan) yang berkemungkinan mahu melanjutkan tempoh Yang Dipertua Negeri itu sekarang.

JONISTON BANGKUAI
JONISTON

Ketua Penerangannya, Datuk Joniston Bangkuai berkata, tempoh khidmat Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin sudah mencapai tempoh maksimum dua penggal sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Negeri Sabah yang akan tamat pada penghujung bulan ini.

Beliau mendakwa, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang dijadualkan mengadakan sidang khas pada 13 Disember ini adalah untuk meminda Perlembagaan negeri bagi melanjutkan tempoh berkenaan.

“Apa yang tidak kena dengan peruntukan sedia ada? Adakah menyambung tempoh Yang Dipertua Negeri sedia ada akan membawa kebaikan tambahan kepada rakyat?

“Malah sebarang pindaan perlembagaan mestilah menjurus kepada apa yang memanfaatkan rakyat dan bukannya kepada pihak tertentu sahaja,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Joniston berkata, tempoh dua penggal yang diberikan kepada Juhar adalah sangat memadai dan peluang itu wajar diberikan kepada pemimpin atau tokoh lain yang pernah berjasa kepada Sabah.

“Tempoh Yang di-Pertuan Agong pun tertakluk kepada satu penggal sahaja sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Sekiranya tempoh Yang Dipertua Negeri tidak dibataskan oleh undang-undang, bukankah ia menyerupai kesultanan.

“Kita perlu mengambil kira sentimen akar umbi di Sabah. Diharapkan, Yang di-Pertuan Agong tidak akan menerima cadangan melanjutkan tempoh Yang Dipertua Negeri,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN