JOHOR BAHRU 8 Dis. – Tindakan Malaysia menuntut semula hak ruang udara Johor daripada Singapura adalah tidak salah.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan itu bagaimanapun memerlukan kedua-dua kerajaan untuk bertemu dan berbincang secara berhemah di meja rundingan.
Katanya, perbincangan secara berhemah perlu bagi mengelak tercetusnya sebarang perkara tidak diingini.
“Selain itu, turut timbul pertikaian melibatkan sempadan perairan negara khususnya di kawasan yang dituntut kedua-dua pihak.
“Kita mempunyai asas untuk menuntut kawasan tersebut dan pastinya Singapura juga berfikiran yang sama,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Bersatu Johor, dekat Senai di sini hari ini.
Muhyiddin turut memberitahu, isu berkenaan sudah dibincangkan di peringkat Kabinet dan kerajaan memandang serius perkara tersebut.
“Hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura baik, namun kadangkala timbul sedikit perselisihan dan itu merupakan perkara normal.
“Ketika saya menjawat jawatan Menteri Besar Johor juga timbul perselisihan, namun kedua-dua negara mahu terus bekerjasama dengan akrab,” ujarnya.










