Tidak sabar berpakaian baharu ke sekolah - Utusan Malaysia

Tidak sabar berpakaian baharu ke sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 11 Dis. – Biasanya Siti Norsolhatul Amilah Sabor, 11, tidak merasa apa-apa apabila sesi sekolah pada awal tahun bermula kerana tiada yang istimewa bagi dirinya.

SITI NORSOLHATUL AMILAH SABOR
SITI NORSOLHATUL AMILAH SABOR 

Namun bagi pembukaan sesi persekolahan 2019, situasi agak berlainan dan tidak sabar menjejakkan kaki ke Sekolah Kebangsaan (SK) Perumahan Tampoi 2 di sini pada 1 Januari ini.

Ini kerana anak keempat daripada tujuh beradik yang tinggal di Taman Pulai Perdana itu bakal menyarung pakaian dan mempunyai kelengkapan sekolah baharu.

“Sebelum ini apabila masuk sesi persekolahan yang baharu, saya hanya memakai pakaian sekolah terpakai didermakan keluarga lain yang bermurah hati dan prihatin.

“Bapa saya hanya bekerja kilang manakala ibu pula surirumah selain mempunyai tiga adik beradik orang kurang upaya (OKU). Saya bersyukur terpilih menerima bantuan ini,” katanya.

Siti Norsolhatul merupakan satu daripada 200 penerima program Back to School sumbangan Yayasan Sayang Mutiara (YSM) di Sangkar Kristal, Jalan Serampang di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd. Izhar Ahmad; Pengerusi Eksekutif Mutiara Motors Sdn. Bhd., Datuk Ahmad Kemin; Pengarah YSM; Kumpulan Mutiara Motors, Datin

Ramlah Mohamed dan Pegawai Pendidikan Daerah Johor Bahru, Sharudin Shaari.

Sementara itu, Hazlina Hamidun, 45, ibu tunggal yang menjaga lima anak saudaranya bersyukur dan berterima kasih atas sumbangan YSM kerana banyak meringankan bebannya.

Menurutnya yang tinggal di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, sumbangan itu amat bermakna kerana sejak memelihara kelima-lima anak saudaranya itu dua tahun lalu, setiap kali musim persekolahan bermula memerlukan kira-kira RM2,000 untuk pakaian dan kelengkapan mereka.

“Ibu bapa mereka sudah tidak tinggal bersama-sama lagi. Kami hanya menumpang dengan ibu bapa saya selain menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM400 sebulan,” katanya yang turut mendapat bantuan YSM setiap kali menjelang hari raya puasa.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, YSM mengumpul dana daripada sumbangan syarikat-syarikat dalam Kumpulan Mutiara Motors, kakitangannya dan individu perseorangan yang bermurah hati.

“Kita harap YSM dapat mengumpul lebih banyak lagi dana bagi membolehkan YSM meluaskan aktiviti-aktiviti kebajikan, amal dan kemasyarakatan,” ujarnya.

Sejak ditubuhkan katanya, YSM sudah menyampaikan sumbangan kepada sekolah, rumah ibadat, pertubuhan kebajikan dan golongan yang memerlukan tanpa mengira latar belakang mereka.

Program sumbangan kembali ke sekolah itu katanya, merupakan aktiviti tahunan sejak 10 tahun lalu bertujuan membantu pelajar daripada keluarga yang memerlukan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN