Tidak ramai peduli sungai tercemar - Utusan Malaysia

Tidak ramai peduli sungai tercemar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,
MEMBUANG sampah merata-rata dan mencemarkan sungai adalah suatu sikap yang tidak harus ada pada seseorang individu. Oleh kerana kesan pencemarannya tidak nampak segera, tetapi setiap anggota masyarakat perlu bertanggungjawab melindungi alam sekitar terutama sungai. Pernahkah anda terfikir apa yang akan terjadi sekiranya tiada kawalan dilakukan bagi mengatasi masalah pencemaran sungai untuk jangka masa panjang?

Antara masalah yang serius dan sering kali berlaku adalah banjir, jangkitan penyakit, kehilangan sumber ekonomi dan banyak lagi. Kita dapat lihat apabila berlaku hujan masih terdapat sisa-sisa sampah yang mengalir bersama arus sungai.

Walaupun pelbagai tindakan telah dibuat, namun perkara ini masih lagi berulang. Baru-baru ini, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Johor Kampus Pasir Gudang telah berusaha untuk membantu kerajaan negeri untuk sama-sama mengambil langkah bagi memastikan sungai di negeri ini bebas daripada pencemaran. Bermula September 2017, Persatuan Penyayang kampus ini telah menjayakan program Clean Rivers for Recreation berkonsepkan kesedaran serta gotong-royong bersama penduduk kampung.

Program yang dijalankan selama tiga bulan di setiap hujung minggu ini dikendalikan oleh 10 ahli persatuan dan dibantu lebih 200 pelajar.

Antara pendedahan yang diberikan adalah memberi pengenalan tentang sungai serta aktiviti-aktiviti yang menarik boleh dijalankan di sekitarnya, memberi penerangan tentang jenis-jenis dan kesan pencemaran air serta cara-cara mengatasi. Program ini disusuli dengan gotong-royong yang dijalankan secara berperingkat di seluruh kawasan Kampung Belantik dan di sekitar pinggiran sungai berdekatan.

Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk sama-sama memastikan keadaan sungai sentiasa bersih dan selamat digunakan.

ZENO MICHAEL
Pensyarah UiTM Cawangan Johor Kampus Pasir Gudang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN