KUALA LUMPUR 11 Dis. – Tindakan kerajaan meluluskan penubuhan syarikat tujuan khas (SPV) adalah tidak perlu dan Lembaga Tabung Haji harus diberi peluang selesaikan sendiri masalah yang dihadapi, tegas Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali.
Menurut beliau, situasi yang dihadapi Tabung Haji ketika ini adalah disebabkan oleh faktor pasaran, kitaran dan ketidaktentuan yang melanda ekonomi global.
Kata beliau, keadaan itu menyebabkan banyak institusi lain turut terjejas termasuk syarikat milik kerajaan (GLC).
“Tabung Haji juga tidak terkecuali apabila pelaburan dalam beberapa syarikat menyusut akibat kejatuhan harga saham sekali gus membawa kepada penurunan nilai aset.
“Kalau boleh pegang dahulu aset-aset berkenaan dan tunggu sehingga keadaan kembali pulih serta beri ruang kepada Tabung Haji untuk mencari mekanisme terbaik tanpa perlu melibatkan SPV. Kita tidak mahu aset-aset strategik dijual kepada pihak lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa mendedahkan akaun Tabung Haji yang diaudit berakhir 31 Disember 2017 merekodkan aset keseluruhan berjumlah RM70.3 bilion dan liabiliti sebanyak RM74.4 bilion.











