Tiada sebab nafi hak orang bujang - Utusan Malaysia

Tiada sebab nafi hak orang bujang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 31 Dis. – Sebelum ini Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan fasa pertama Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 akan menggunakan pangkalan dan kaedah lama bagi membolehkan pembayaran dilakukan sebelum Februari tahun depan.

Walau bagaimanapun keadaan nampaknya berbeza apabila kategori pemohon lulus BSH itu menafikan 100 peratus hak tiga golongan termasuk mereka yang bujang.

Pakar ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, keadaan itu sepatutnya tidak berlaku kerana golongan bujang juga memerlukan bantuan tersebut bagi menampung kos sara hidup mereka.

“Lebih 50 peratus isi rumah di negara ini berada dalam tahap miskin, termasuk mereka yang bujang. Jadi tiada sebab untuk kerajaan menafikan hak mereka.

“Kerajaan kena teliti dan realistik, mungkin jumlah bantuan itu diberikan separuh kepada golongan bujang, tidaklah sampai tak terima apa-apa langsung,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Berdasarkan laman web bsh.hasil.gov.my, tiga golongan tidak layak menerima bantuan tersebut adalah berkahwin dengan pasangan bukan warganegara Malaysia, bujang atau ibu bapa tunggal tiada tanggungan dan bujang yang mempunyai tanggungan.

Sehubungan itu, Timbalan Presiden Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKKDPN), Prof. Madya Dr. Madeline Berma mencadangkan supaya kerajaan memberi pelepasan cukai terkumpul yang lebih tinggi kepada orang bujang yang menanggung kedua ibu bapanya.

Kata bekas pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, orang bujang juga wajar melakukan aktiviti ekonomi yang boleh menjadi sumber pendapatan kedua seperti menjalankan perniagaan dalam talian atau kerja sambilan.

“Kerajaan perlu menggalakkan orang bujang melakukan perancangan kewangan selain membuat pelaburan untuk meraih pendapatan pasif,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN