BALING – Tiada pihak yang akan terjejas dengan keputusan kerajaan meletakkan Lembaga Tabung Haji (TH) di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) bermula Januari tahun hadapan, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah.
Katanya, keputusan itu dibuat bagi menambah baik pengurusan kewangan dan pelaburan organisasi berkenaan dan melibatkan pengurusan jemaah haji yang dikendalikan TH.
“Bila kita sebut Tabung Haji (TH) diletakkan di bawah Bank Negara Malaysia ( BNM) ramai yang bimbang kerana kononnya ia akan dikawal oleh menteri bukan Islam (Menteri Kewangan, Lim Guan Eng).
“Saya minta cukuplah mainkan isu itu kerana menteri berkenaan ada seribu satu kerja lain, Amiruddin tak dak ka kat situ, awat Amiruddin nak tengok sajakah,” katanya kepada pemberita pada Program Kembali Ke Sekolah Parlimen Baling di sini hari ini.
Amiruddin berkata demikian bagi mengulas dakwaan setengah pihak yang bimbang dengan keputusan kerajaan meletakkan TH di bawah Bank Negara yang dikawal selia Kementerian Kewangan yang diterajui Guan Eng. – Bernama










