PULAU PINANG 27 Dis. – UMNO negeri ini mengingatkan pemimpin Pas supaya lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan membabitkan parti itu sehingga dilihat boleh mengeruhkan kerjasama yang terjalin ketika ini.
Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah kononnya UMNO tidak mempunyai masa depan dan patut dibubarkan adalah keterlaluan dan penghinaan kepada parti itu.
Tegas beliau, meskipun sedang berdepan cabaran hebat termasuk beberapa wakil rakyatnya keluar parti, namun UMNO masih merupakan parti pembangkang dominan yang lebih kuat berbanding Pas.
“Dari segi jumlah kerusi Parlimen pun UMNO lebih ramai berbanding Pas, jadi mana kewajarannya dakwaan Mohd. Amar kononnya kita tiada masa depan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Musa, adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak menilai tindakan wakil rakyat UMNO keluar parti sebagai tanda parti itu semakin melemah sehingga perlu dibubarkan.
Ini kerana, ujar beliau, UMNO sendiri melihat tindakan pemimpin yang melompat parti itu adalah satu proses ‘pembersihan’ sekali gus memastikan UMNO hanya dibarisi ahli yang benar-benar setia serta sanggup berkorban dalam situasi susah dan senang.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan Pas juga pernah berdepan dengan penghijrahan besar-besaran ahlinya ke dalam Parti Amanah Negara (Amanah).
“Jadi jika mengikut logik akal Mohd. Amar, maka Pas juga sudah lama perlu dibubarkan,” katanya.
Sementara itu, Musa mengingatkan pemimpin Pas yang mana serangan dan kritikan terbuka mereka terhadap UMNO tidak membantu usaha kedua-dua parti ke arah menjadi pembangkang yang kuat selain boleh menjejaskan kerjasama dalam membela nasib orang Melayu dan umat Islam. – UTUSAN ONLINE










