ISKANDAR PUTERI 3 Dis. – Pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak pernah mengenakan sebarang syarat atau panduan kepada penganjur pasar lambak untuk caj lain seperti penyediaan kawalan keselamatan dan sewa tapak.
Justeru, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi negeri, Tan Hong Pin menyeru mana-mana peniaga pasar lambak yang dikenakan bayaran sewa yang tinggi untuk membuat aduan kepada PBT.
Katanya, langkah itu bagi membolehkan PBT terlibat dapat mengkaji kes yang dilaporkan dan

mengambil tindakan terhadap penganjur.
“Semua PBT juga akan mengkaji semula kontrak yang diberikan kepada penganjur dan mengemas kini data pada tahun akan datang selain menetapkan kadar maksimum untuk pasar lambak.
“Pihak penganjur perlu mengikut harga yang ditetapkan dan sesiapa didapati melanggar peraturan ditetapkan PBT, kontrak pengurusan penganjur akan dibatalkan,” katanya menjawab soalan Tee Boon Tsong (PH-Senai) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.

Hong Pin berkata, pengurusan pasar lambak dalam kawasan PBT diuruskan PBT atau dengan melantik pihak luar sebagai penganjur yang bertujuan untuk memudahkan pihak
terbabit mengawal dan memantau peniaga di lokasi.
Tambahnya, bagi PBT yang menganjurkan sendiri, setiap penjaja pasar lambak hanya dikenakan caj pelupusan sampah sebanyak RM1 dan caj sewa tapak sebanyak RM2.
“Bagi PBT yang melantik pihak luar sebagai penganjur, kelulusan bagi penganjuran pasar terbabit juga membenarkan kutipan caj pengurusan sampah yang maksimum dan munasabah yang boleh dikenakan terhadap penjaja,” katanya.










