KUALA TERENGGANU 24 Dis. – Fenomena air pasang besar yang melanda pesisir pantai di tujuh daerah di negeri ini dijangka tidak akan menyebabkan berlaku banjir besar.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Lt. Kol. (PA) Che Adam Abdul Rahman berkata, walaupun paras air meningkat namun jumlah yang direkodkan tidak begitu signifikan disebabkan keadaan cuaca baik beberapa hari ini.
Katanya, sekali pun berlaku hujan lebat di beberapa kawasan dalam jangka masa pendek, keadaan dijangka tetap terkawal dan kawasan berisiko tidak akan terjejas banjir.
“Tinjauan hari kedua dalam fasa air pasang besar di beberapa kawasan di Terengganu mendapati kemuncaknya adalah pada pukul 10.15 malam tadi tetapi tidaklah begitu signifikan.
“Jika sepanjang fenomena air pasang besar ini tidak berlaku hujan lebat maka kita jangkakan tiada banjir besar dalam tempoh ini,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di beberapa lokasi di daerah ini di sini malam tadi.
Menurut Che Adam, fenomena air pasang besar yang diramalkan berlarutan hingga Jumaat ini akan menyebabkan paras air laut meningkat antara 2.8 meter hingga 2.9 meter.
Beliau yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri berkata, beberapa pasukannya diarah membuat pemantauan secara berterusan di lokasi berisiko seperti di Kuala Besut, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Kemaman.
“Pemantauan dibuat antara empat ke enam jam sekali dalam tempoh dinyatakan ini dan untuk tempoh malam ini dari 9 malam hingga 2 pagi.
“Di setiap daerah, kita mempunyai kekuatan antara lapan ke-10 anggota untuk membuat pemantauan tersebut,” katanya.
Bagaimanapun, Che Adam tidak menolak kemungkinan banjir gelombang ketiga akan berlaku pada awal Januari. – UTUSAN ONLINE










