LONDON 18 Disember.- Selepas terselamat daripada undian tidak percaya parti beliau, Perdana Menteri Britain Theresa May bakal berdepan satu lagi undi tidak percaya daripada parti minoriti pembangkang negara ini.
Memetik laporan Reuters, Parti Nasional Scotland (SNP), yang merupakan parti ketiga terbesar di Britain, disertai Parti Demokrat Liberal Wales yang juga dikenali Cymru dan Parti Hijau sebulat suara mengusulkan undian tersebut.
Kesemua parti terlibat turut mendesak agar usul tersebut dapat dibahaskan sebelum parlimen ditangguhkan sempena cuti Krismas.
Penggubal Undang-Undang SNP menerusi kenyataan dalam akaun Twitter menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan agar perbahasan dapat dilakukan dalam masa terdekat.
“Saya menggesa kerajaan memberi tempoh agar perbahasan dapat dijalankan,” katanya.
Parti Buruh pada Isnin lalu mengusulkan undi tidak percaya terhadap May kerana tindakannya yang melengah-lengahkan penjadualan proses undian penggubal undang-undang terhadap rancangan Brexitnya.
May masih gagal meraih sokongan parlimen terhadap perjanjian untuk mengekalkan kerjasama erat dengan Brussels walaupun hanya berbaki 100 hari sebelum Britain meninggalkan kesatuan tersebut.
Dalam pada itu, AFP melaporkan kerajaan Britain memperuntukkan dua bilion pound (RM10 bilion) untuk Brexit dan mengerahkan 3,500 tentera untuk memantau keselamatan selepas menteri bersetuju untuk menjadikan pelan rancangan sebagai operasi yang diutamakan.
Laporan tersebut dikeluarkan ketika penentangan berterusan terhadap draf perjanjian Brexit yang dibuat Perdana Menteri, Theresa May 14 minggu sebelum Britain secara rasmi keluar dari Kesatuan Eropah.
Susulan perbincangan terakhir kabinet sebelum parlimen ditangguhkan sempena cuti Krismas, Menteri Pertahanan memberitahu 3,500 tentera akan dikerah untuk persediaan bagi menghadapi sebarang kejadian luar jangka kesan dalam tempoh tersebut.









