KUALA LUMPUR 30 Nov. – Thailand akan melakukan apa sahaja untuk menumpaskan Malaysia buat kali pertama di tempat lawan selepas gagal melakukannya sejak 47 tahun lalu.
Ketua jurulatih skuad Gajah Perang, Milovan Rajevac berkata, pulang bersama kemenangan akan memberi kelebihan besar kepada pasukannya sebelum menerima kunjungan Harimau Malaya di Stadium Rajamangala, Bangkok pada 5 Disember.
Selain tidak pernah mengalahkan Malaysia di tempat lawan, skuad Gajah Perak itu juga gagal memenangi satu-satunya perlawanan yang diadakan di luar Bangkok dalam kempen Piala AFF kali ini apabila seri 1-1 dengan Filipina pada 21 November lalu.
“Saya dan pemain bekerja keras untuk memastikan standard yang kami ditunjukkan di tempat lawan, sama seperti di tempat sendiri.
“Bermain di stadium cantik (Stadium Nasional, Bukit Jalil) di depan sorakan ribuan penonton pasti suasana yang menarik.
“Rekod (tidak pernah menang di Malaysia sejak 1971) sudah lama wujud dan semua orang cuba memecahkannya. Kami datang ke sini untuk meleburkan tradisi itu dan akan memulakannya esok,” kata Rajevac.
Rajevac juga juga memuji Malaysia yang dianggap memiliki skuad yang bagus bukan sahaja untuk menghadapi Piala AFF, malah layak ke Piala AFC.
“Kalau mereka menunjukkan disiplin tinggi secara taktikal, selain fokus dan bermotivasi, saya percaya Malaysia mampu melayakkan diri ke Piala AFC selepas ini,” ujar Rajevac lagi.










