Terus mempolitikkan Tabung Haji langkah bahaya - Najib - Utusan Malaysia

Terus mempolitikkan Tabung Haji langkah bahaya – Najib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 11 Dis. – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi amaran sebarang langkah untuk terus mempolitikkan Lembaga Tabung Haji (TH) bukan sahaja tidak bijak malah bakal mendatangkan kesan bahaya kepada institusi tersebut.

Menurut Najib, ketidak yakinan terhadap TH tidak perlu ditambah lagi dengan kejutan oleh kerajaan ketika nilai pelaburan TH dan syarikat-syarikat berkaitan institusi itu jatuh selepas Pilihan Raya Umum ke-14 apabila pelabur-pelabur asing tidak berhenti menarik keluar dana daripada Bursa Malaysia.

“Langkah ini telah menghakis kepercayaan pencarum-pencarum terhadap TH sehingga ada kemungkinan berlakunya “bank run” ataupun pengeluaran deposit secara beramai-ramai. Kalau ini berlaku, maka dana dan aliran tunai TH akan terus berkurangan sehingga kestabilan TH mungkin terjejas.

“Langkah kerajaan PH untuk menjadikan TH sebagai bahan politik bukan bijak. Malah, ini satu langkah yang bahaya. Jika pengurusan TH dahulu dan juruaudit-juruaudit TH benar-benar bersalah, sila siasat dan ambil tindakan tetapi jangan politikkan,” kata Najib.

Najib berkata demikian mengulas dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof semalam bahawa TH mengeluarkan hibah atau dividen bercanggah dengan Akta Tabung Haji 1995 sejak 2014 sehingga menyebabkan agensi itu mengalami defisit RM4.1 bilion.

Mujahid Yusof Rawa
Mujahid Yusof Rawa 

Mujahid berkata, berdasarkan laporan kewangan TH yang berakhir 31 Disember 2017, aset TH adalah sebanyak RM70.3 bilion berbanding liabiliti sebanyak RM74.4 bilion sehingga menyebabkan wujud defisit RM4.1 bilion.

“Langkah kerajaan PH semalam untuk mempolitikkan Tabung Haji (TH) dengan mendakwa TH telah terlebih bayar dividen untuk empat tahun berturut-turut sehingga mengalami defisit RM4.1 bilion serta aset TH sedang dijual bukan satu langkah yang bijak.

“Lebih lagi jika defisit ini sudah diselesaikan seperti diumum oleh Dr. Mujahid semalam juga. Bagaimana dia selesaikan dan mengapa cepat sangat boleh diselesaikan? Itu perkara lain yang dia harus jawab,” tanya Najib.

Keratan laporan The Edge.
Keratan laporan The Edge. 

Sebelum ini portal berita ekonomi The Edge pada 5 Disember bit.ly/2C3Pn9Q melaporkan pegangan TH dalam 20 syarikat disenarai mengalami kerugian RM2.74 bilion apabila pelabur asing menarik pelaburan daripada Bursa Malaysia.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN