KUALA LUMPUR 10 Dis. – Akibat tersalah tekan pedal minyak, seorang lelaki berdepan detik cemas apabila kereta Honda Accord dipandunya terjunam dari tingkt satu tempat meletak kenderaan serta menghempap tiga kenderaan lain dalam kejadian di Kompleks Sun, Jalan Imbi, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.18 pagi itu, pemandu berusia 29 tahun tersebut disahkan selamat dan mengalami cedera ringan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku ketika lelaki tersebut hendak meletak kenderaannya di bangunan berkenaan.
“Bagaimanapun, mangsa tertekan minyak hingga melanggar tembok dan terjatuh ke bawah dari lokasi kejadian setinggi 10 meter itu.
“Akibat kejadian itu, kereta mangsa turut menghempap tiga kenderaan lain iaitu Proton Waja, Proton Gen-2 dan Toyota Vellfire yang diparkir di petak meletak kenderaan di bawah bangunan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Zulkefly, pemeriksaan mendapati kereta mangsa mengalami kerosakan di bahagian cermin belakang manakala kereta Proton Gen-2 rosak di bahagian cermin tingkap. – UTUSAN ONLINE










