JERANTUT 12 Dis. – Seorang pemandu jengkaut terkejut melihat seekor ular sawa sepanjang kira-kira lapan meter tergantung di bahagian depan jentera berkenaan ketika sedang membersihkan tanah sebuah kebun di Kampung Hulu Teh dekat sini, semalam.
Pemandu jengkaut itu yang hanya mahu dikenali sebagai Musliadi, 42, berkata, pada mulanya dia menyangkakan batang pokok reput tersangkut bersama-sama tanah yang dikaut menggunakan jentera tersebut ketika membersihkan kebun berkenaan kira-kira pukul 2 petang.
“Setelah meninggikan bahagian pengaut tanah, saya terkejut melihat ular sawa tergantung dan haiwan itu masih hidup.
“Situasi seperti ini adalah kali pertama saya alami sejak lapan tahun bekerja sebagai operator mesin,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Musliadi, reptilia itu kelihatan lemah dan mungkin baru sahaja menelan mangsanya sebelum ‘dikaut’.
“Saya membiarkan ular sawa berkenaan bergerak keluar. Kira-kira 10 minit kemudian ular sawa itu kelihatan menjalar masuk ke dalam hutan berdekatan kawasan kebun,” katanya.











