KLANG 11 Dis. – Tengku Puan Panglima Perlis, Tengku Puteri Nor Zehan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menerima anugerah tertinggi Selangor, Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (DK) sempena hari keputeraan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah di sini pagi ini.
Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin pula mengepalai bukan kerabat menerima anugerah darjah kelas pertama, Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada lelaki dan Datin Seri Paduka kepada wanita.
Turut sama menerima anugerah SPMS ialah Peguam Cara Negara II, Datin Zauyah Be T Loth Khan dan Pengarah Khazanah Nasional Bhd., Datuk Shahril Ridza Ridzuan.
Darjah Kebesaran Datuk Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah (SSIS) yang membawa gelaran Datuk Setia kepada lelaki dan Datuk Paduka Setia pula dianugerahkan kepada tiga individu iaitu Tengku Puan Indera Setia Selangor, Tunku Irinah Tuanku Jaafar, Ahli Dewan Diraja Selangor, Datuk Salehuddin Saidan dan Pro Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Tan Sri Lim Ah Lek.
Dalam pada itu, sembilan individu menerima Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS) yang membawa gelaran Datuk dan Datin Paduka antaranya ialah Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Mohd. Reza Mohd. Sany dan Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor.
Darjah Kebesaran Datuk-Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) yang turut membawa gelaran Datuk dan Datin Paduka pula dianugerahkan kepada 10 penerima antaranya Panglima Pasukan Khas Laut (Paskal), Laksamana Pertama Anuar Alias dan Ketua Eksekutif Pusat Penyelidikan Kanser Malaysia, Prof. Dr. Teo Soo Hwang.
Sementara itu, Sultan Sharafuddin turut berkenan menganugerahkan lima atlet negara iaitu, Sarjan Emma Firyana Saroji (boling padang); Farhan Adam (sepak takraw); Amy Kwan Dict Weng (gimrama); Muhammad Faizul M. Nasir (pencak silat) dan Siti Safiyah Amirah (boling) dengan anugerah Ahli Kegemilangan Sultan Selangor (AKS). – UTUSAN ONLINE










