Telefon bimbit penuh bakteria - Utusan Malaysia

Telefon bimbit penuh bakteria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 1 Dis. – Siapa sangka telefon bimbit sebenarnya jauh lebih kotor sehingga tujuh kali ganda berbanding tempat duduk mangkuk tandas, dedah satu kajian baru-baru ini.

Mail Online memetik kajian yang dilakukan oleh syarikat Initial Washroom Hygiene melaporkan, telefon bimbit yang menggunakan sarung kulit le­bih banyak mengandungi bakteria berbanding sarung plastik.

Namun, sarung telefon plastik yang boleh dilap dengan kain juga didapati enam kali ganda lebih kotor daripada tandas.

Mengikut kajian itu, syarikat berkenaan mengambil beberapa sampel daripada 50 buah te­lefon bimbit menggunakan sejenis alat pemegang berlampu.

Alat tersebut akan menyala apabila terdapat bakteria pada permukaan telefon bimbit atau sarung yang digunakan.

Berdasarkan hasil imbasan pada tempat duduk mangkuk tandas, alat tersebut menunjukkan sebanyak 220 ‘lokasi bakteria,’ manakala telefon bimbit secara purata memiliki kira-kira 1,479 bakteria.

Pakar Bakteria di Universiti Aberdeen, Prof. Hugh Pennington berkata, mengambil sampel kekotoran daripada telefon bimbit sama seperti memeriksa tahap kebersihan pada sapu tangan yang digunakan.

“Bakteria terdapat pada te­lefon bimbit hadir menerusi kegiatan harian penggunanya dan keadaan itu jarang menyebabkan penyebaran penyakit.

“Bagaimanapun, ia boleh menyebabkan keadaan lebih teruk sekiranya telefon bimbit sering digunakan ramai pihak,” katanya.

Dalam kajian yang dilakukan Sekolah Kebersihan dan Perubatan Tropika London pada 2011 mendapati bahawa, satu daripada enam telefon bimbit dicemari dengan bakteria yang terdapat dalam najis seperti E. coli yang boleh menyebabkan keracunan makanan serta sakit perut serius.

Kumpulan pakar percaya, te­lefon bimbit boleh menjadi kotor kerana penggunanya sering membawa peranti komunikasi ke dalam tandas.

Satu tinjauan yang dilakukan oleh Initial Washroom Hygiene juga mendapati kira-kira 40 peratus pengguna mengakui mereka membawa telefon bimbit ke dalam tandas ketika waktu kerja, dan hanya 20 peratus sahaja yang membersihkan peranti berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN