KUALA TERENGGANU 11 Dis. – Polis Terengganu bertekad memerangi kegiatan curi motosikal mulai tahun depan susulan kejayaan kontinjen itu melumpuhkan kegiatan terbabit sepanjang tahun ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Aidi Ismail berkata, walaupun kes kecurian motosikal mencatatkan penurunan daripada tahun sebelumnya, namun ia masih merupakan penyumbang terbesar kepada kadar jenayah indeks negeri dengan kira-kira 60 peratus daripada keseluruhan kes membabitkan jenayah harta-benda.
Katanya, hasil operasi yang dijalankan polis berjaya mengurangkan kepada 1.5 kes sehari di seluruh negeri berbanding nisbah sebelum ini iaitu dua kes sehari.
“Oleh itu kita akan memastikan yang fokus tahun depan lebih kepada operasi membanteras dan menangkap mereka yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah antara Asisten Komisioner Idris Abd. Rafar (bersara) dan Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintenden Suffian Sulaiman yang memangku tugas itu di sini hari ini.










