KOTA BHARU 21 Dis. – Kerajaan Pas Kelantan telah mengarahkan peguam yang mewakilinya, Tommy Thomas supaya menguruskan proses penarikan balik saman berhubung tuntutan royalti petroleum negeri ini terhadap kerajaan Persekutuan dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas).
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, keputusan kerajaan negeri menarik balik saman tersebut adalah muktamad dan perkara itu telah disahkan menerusi pengumuman Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob sendiri, Oktober lalu.
Bagaimanapun, katanya, proses selanjutnya seperti pengeluaran notis rasmi dan urusan lain termasuk bahagian teknikal di mahkamah diserahkan sepenuhnya kepada Thomas yang secara kebetulan kini dilantik menjadi Peguam Negara.
“Selepas buat keputusan tarik balik saman, kerajaan negeri mengarahkan peguam kita, Tommy Thomas untuk ambil tindakan lanjut di mahkamah serta berhubung dengan pihak terbabit iaitu kerajaan Pusat dan Petronas.
“Keputusan ini sudah lama kita buat, arahan pun sudah lama kita keluarkan iaitu dua bulan lepas. Jadi saya tidak pasti apa status sebenar dan kita perlu rujuk kepada peguam kerana dia yang uruskan perkara itu termasuk bahagian teknikal di mahkamah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Zakat Kakitangan Petronas (Bakip) yang melibatkan 330 pelajar golongan asnaf di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor, Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Sumbangan dalam bentuk baucer bernilai antara RM75 hingga RM200 yang membolehkan setiap penerima membuat pembelian kelengkapan persekolahan seperti pakaian seragam serta alat tulis disempurnakan oleh Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Datuk Wan Mohd. Hasnan Abdullah.
Semalam, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin mendedahkan, pihaknya dan Petronas masih belum menerima sebarang notis rasmi penarikan balik saman oleh Kerajaan Pas Kelantan berhubung tuntutan royalti petroleum yang difailkan di mahkamah pada 2011.
Mengulas lanjut perkara itu, Mohd. Amar yang juga Naib Presiden Pas berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak perlu khuatir kerana kerajaan negeri tidak akan ‘menipu’, lebih-lebih perkara tersebut diumumkan secara terbuka oleh Ahmad dalam sidang akhbar.
“Bagi saya bila kita telah buat keputusan, sama ada pihak dia dapat surat atau tidak, benda ini sudah jelas sebab yang bercakap itu Menteri Besar sendiri, bukan orang lain.
“Saya cuma takut ini akan dijadikan alasan untuk tidak bayar (royalti kepada Kelantan). Tidak eloklah begitu,” katanya. – UTUSAN ONLINE










