PUTRAJAYA 3 Dis. – Negara perlu berada dalam keadaan aman damai supaya proses pengagihan kekayaan kepada semua pihak dapat dilaksanakan.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, perkara itu hanya boleh dicapai sekiranya negara ditadbir dengan baik dengan tiada gejala rasuah dan acara-acara disengajakan untuk mencetuskan huru-hara serta permusuhan kaum.
Sebab itu jelas beliau, apabila terdapat permasalahan seperti rusuhan, ia hendaklah ditangani dengan bijak sebagai pemerintah yang prihatin dan berpengalaman serta memahami tujuan adanya pentadbiran negara
“Saya yakin anggota Jabatan Perdana Menteri memahami maksud dan hasrat penubuhan kerajaan iaitu bukan untuk mengkayakan diri sesiapa tetapi memastikan negara mendapat kemajuan dan akan lebih maju dari sekarang.
“Percayalah kalau kita memajukan negara kita, kita akan dapat merasai nikmatnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri
Ucapan Perdana Menteri itu disiarkan secara langsung di laman Facebook Dr. Mahathir Bin Mohamad.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta menteri-menteri Kabinet.
Dalam masa sama, Dr. Mahathir menyeru anggota pentadbiran negara agar melaksanakan tugas mengikut kuasa yang telah diberikan.
Katanya, kuasa yang diberikan adalah untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab bukannya untuk kepentingan diri sendiri.
“Ini harapan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang telah menggantikan kerajaan lama kerana kerajaan sebelum ini gagal memegang matlamat negara serta salah faham dan salah guna tujuan kuasa diberikan kepada mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE










