KUALA LUMPUR 22 Dis. – Bantuan Musim Tengkujuh sebanyak RM600 kepada pekebun kecil getah yang diumumkan kerajaan semalam disifatkan sebagai tidak menangani isu lebih besar dihadapi golongan tersebut iaitu kejatuhan harga getah sekerap.
Pandangan itu disuarakan oleh Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Datuk Aliasak Ambia yang menyifatkan bantuan diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng itu hanyalah bersifat sementara.
Meskipun beliau menyambut baik pengumuman itu, namun Aliasak percaya kerajaan perlu mengkaji semula keperluan pekebun kecil getah mengikut keadaan semasa.
“Subsidi ini hanya diberikan pada musim tengkujuh sahaja, kalau bukan lagi musim hujan, tiada bantuan, jadi ia hanya bersifat sementara sahaja.
“Ketika ini, harga pengeluaran sekilogram getah sekerap adalah RM3.30 dan dijual pada RM1.80, amat rendah daripada kos pengeluaran. Meskipun harga lantai baharu diumumkan adalah RM2.50 sekilogram berbanding RM2.20 sebelum ini. Ini masih tidak dapat membendung masalah berkenaan.
“Jadi, jika mahu tangani masalah ini, kerajaan perlu menetapkan harga lantai getah sekerap pada kadar yang munasabah iaitu RM4 sekilogram,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Guan Eng berkata, sebanyak 274,639 pekebun kecil getah yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan menerima Bantuan Musim Tengkujuh sebanyak RM600.
Kata beliau, bantuan tersebut akan dibayar secara dua peringkat iaitu sebanyak RM300 pada akhir tahun ini dan baki RM300 lagi pada awal tahun depan.
Hari ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula memberitahu, pihaknya beriltizam untuk terus memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan peneroka dan pekebun kecil getah bagi merealisasikan usaha pembangunan ekonomi yang inklusif.
Katanya, melihat situasi semasa, melibatkan penoreh dan pekebun kecil getah, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi telah memperjuangkan keperluan untuk golongan sasar ini diberi Bantuan Musim Tengkujuh bagi meringankan beban yang ditanggung.
Utusan Malaysia sejak beberapa bulan lalu aktif menyiarkan rintihan golongan pekebun yang mengalami tekanan kewangan ekoran pelbagai implikasi kejatuhan harga komoditi tersebut.










