SAUDARA PENGARANG,
PADA pagi 14 Disember lalu, saya menggunakan kemudahan di Putrajaya Sentral semasa menaiki tren ERL Transit ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2). Dalam keadaan perut yang tidak berapa selesa, saya perlu menggunakan tandas di Putrajaya Sentral iaitu pintu masuk pengangkutan awam ke pusat pentadbiran kerajaan. Apa yang mengejutkan saya adalah keadaan tandas lelaki yang amat menjijikkan disebabkan tiada air apabila butang curahan air ditekan. Ini menyebabkan hampir semua mangkuk tandas ada tinggalan najis di dalamnya. Bayangkan saya yang dalam keadaan sakit perut terpaksa menahan kesakitan perut itu sehinggalah tiba di KLIA2.
Persoalan saya kepada pihak yang bertanggungjawab, kenapa keadaan sedemikian boleh terjadi? Tidak selayaknya sebuah tempat tumpuan pelancong dan orang ramai mempunyai keadaan tandas yang hampir tidak diselenggara langsung. Cadangan saya, pihak berkenaan boleh sahaja mengenakan caj bagi penggunaan tandas tersebut jika isu kos penyelenggaraan menjadi masalah daripada dibiarkan dalam keadaan menjijikkan. Kami pengguna tidak kisah untuk membayar asalkan keadaan tandas di Putrajaya Sentral dalam keadaan baik dan bersih.
Harapan saya, agar aduan ini diberi perhatian serius oleh pihak berkenaan. Tandas awam mencerminkan sikap dan keperibadian rakyat Malaysia di mata pelancong luar kerana ia merupakan pintu masuk ke pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
ANTI TANDAS KOTOR
Dengkil, Selangor










