SAUDARA PENGARANG,
SAYA merakamkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan yang menguatkuasakan larangan merokok di restoran dan premis makanan mulai 1 Januari 2019.
Tindakan akan diambil terhadap perokok dan juga pemilik restoran yang tidak mematuhi peraturan terbabit mengikut Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983 (Akta 324).
Namun begitu, sudah tiba masanya Kementerian Kesihatan menyediakan talian bebas tol untuk memudahkan orang awam membuat aduan terus kepada kementerian sekiranya pemilik premis masih membenarkan perokok melanggar arahan berkenaan.
Begitu juga menambah jumlah penguat kuasa supaya pelaksanaan undang-undang dapat dilakukan secara menyeluruh.
Dalam konteks ini, Kementerian Kesihatan perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan seperti pejabat daerah dan majlis tempatan bagi memastikan peraturan tersebut dapat diselaraskan bersama agensi penguat kuasa lain.
Notis tentang arahan larangan merokok di restoran dan premis makanan juga perlu ditampal segera bagi mengingatkan pengusahanya dan perokok mengenai undang-undang berkaitan larangan merokok.
Sebagai rakyat yang menyokong arahan ini, saya berharap Kementerian Kesihatan tidak berkompromi apabila membabitkan aspek kesihatan orang ramai di negara ini.
ROKOK DAUN
Putrajaya










