KUALA LUMPUR 1 Dis. – Kecederaan organ dalaman Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, yang parah diserang perusuh di hadapan Kuil Sr Maha Mariamman, USJ 25, dekat sini awal pagi Selasa lalu menunjukkan perkembangan baik.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohamad Hamdan Wahid berkata, berdasarkan maklumat pihak Institut Jantung Negara (IJN), Muhammad Adib telah menjalani proses bronkoskop iaitu memasukkan kamera melalui mulut untuk melihat keadaan paru-paru, malam tadi.
“Setelah menjalani proses tersebut, pihak hospital mendapati keadaan paru-paru Muhammad Adib semakin baik. Selain itu, tahap oksigen juga memuaskan dan buah pinggang menunjukkan perkembangan positif.
“Secara keseluruhannya keadaan Muhammad Adib semakin baik dan kami mendoakannya agar cepat sembuh,” katanya selepas meluangkan masa melawat Muhammad Adib di IJN, di sini hari ini.
Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Seri Dr. Azhari Yakub memaklumkan keadaan Muhammad Adib mula sedar dan faham arahan yang diberikan namun masih dikategorikan sebagai kritikal tetapi stabil. – UTUSAN ONLINE










