PUTRAJAYA 19 Dis. – Proses pemulihan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) kini mencapai tahap 95 peratus dan akan bebas daripada penggantungan pada 15 Januari tahun hadapan.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, proses pemulihan terutamanya dalam aspek integriti dalam pertubuhan terbabit berjalan dengan lancar.
Beliau berkata, Nafas perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku sebelum ini dan ingin ditegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi membabitkan isu-isu integriti.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pentadbir Nafas, Razana Ghazali yang mengambil tangungjawab mengurus pertubuhan itu untuk tempoh enam bulan ini.
“Sekarang kita ambil tindakan proaktif untuk terus melangkah kehadapan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Nafas Ke-45 di sini hari ini.
Pada 1 Jun lalu, Salahuddin mengumumkan Nafas digantung setelah didapati berlaku permasalahan serius dalam urus tadbir dan ketirisan melibatkan barisan kepimpinan agensi tersebut.
Salahuddin berkata, Pendaftar Pertubuhan Peladang (PP) telah mengeluarkan perintah penggantungan ke atas Nafas susulan satu laporan pengurusan audit yang dilakukan pada 26 Mac 2018.
Penggantungan itu bagaimanapun tidak menjejaskan operasi dan 770 kakitangan Nafas sebaliknya hanya kuasa dan pentadbiran pengurusan atasan pertubuhan berkenaan sahaja yang digantung.
Dalam pada itu, Salahuddin berharap pemilihan saf kepemimpinan baharu Nafas pada tahun hadapan akan melahirkan lebih ramai pemimpin yang berintegriti bagi menjamin keperluan golongan sasar.
“Saya berharap mereka yang dipilih nanti dapat memberi komitmen yang baik, bagi yang masih memegang jawatan sekarang jalankan tugas anda dan jadikan Nafas lebih efisyen pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN ONLINE









