KUALA LUMPUR 11 Dis.- Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini mendesak supaya menghentikan segera polemik dan tuduhan semua pihak terhadap Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) sehingga boleh mengganggu gugat kedudukan agensi itu.
Sebaliknya, Presiden Perkasa, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan bagi menyiasat dan mencari kebenaran di sebalik pendedahan yang dibuat sebelum ini.
“Cadangan penubuhan RCI ini telah dibuat oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan .Kita tak kira siapa yang mencadang penubuhan RCI ini. Jika ia cadangan yang baik, adalah wajar memberi sokongan.
“Malah, kita juga kecewa kerana cadangan penubuhan RCI dalam isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih tidak menjadi kenyataan berbanding sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selepas parti pembangkang (Pakatan harapan) mendesak penubuhannya. Kini isu tersebut senyap sunyi hingga sekarang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE









