Tabung Haji didakwa guna simpanan pendeposit bayar hibah - Utusan Malaysia

Tabung Haji didakwa guna simpanan pendeposit bayar hibah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 10 Dis. – Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) didakwa melakukan beberapa transaksi yang dikatakan sebagai usaha untuk menunjukkan institusi itu menjana keuntungan bagi membolehkan pembayaran hibah atau dividen dibuat kepada pendeposit.

Menurut laporan kajian mengenai Tabung Haji yang dipercayai dilakukan oleh firma audit bebas, PriceWaterhouseCoopers (PwC), transaksi yang dilakukan itu termasuklah penjualan saham di dalam BIMB dan pembayaran dividen oleh anak-anak syarikat kepada Tabung Haji.

Bagaimanapun hasil penemuan kajian itu, dikatakan Tabung Haji kemudiannya membeli kembali saham BIMB selain bayaran dividen oleh anak-anak syarikat masih belum dilakukan sepenuhnya pada tarikh laporan PwC itu dikeluarkan.

“Walaupun transaksi ini nampak komersial, namun difahamkan ia dilakukan adalah untuk membolehkan Tabung Haji merekodkan keuntungan lebih tinggi bagi tujuan agihan pembayaran kepada pendeposit,” menurut petikan dalam laporan tersebut.

Difahamkan, laporan kajian itu diedarkan kepada ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat hari ini, sempena sidang akhbar oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof mengenai prestasi Tabung Haji.

Berdasarkan apa yang telah berlaku, laporan tersebut membuat kesimpulan seolah-olah Tabung Haji menggunakan simpanan pendeposit untuk pembayaran hibah, bukannya daripada hasil keuntungan seperti yang direkodkan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN