SETIU 13 Dis. – Sepanjang malam tadi Muhammad Safuan Ahmad Bustaman, 15, resah memikirkan bagaimana untuknya mengambil keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dalam keadaan rumahnya di Kampung Kampung Merbau Menyusut dekat sini yang dinaiki air.
Keresahan itu juga menyebabkan dia tidak lena tidur, di samping keluarganya terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di masjid kampung tersebut kira-kira pukul 9 malam ekoran keadaan yang mendesak.
Muhammad Safuan, merupakan antara 21 mangsa daripada tujuh keluarga terjejas banjir yang ditempatkan di PPS itu sejak malam tadi.
Bagaimanapun, keadaan cuaca yang semakin baik hari ini sedikit sebanyak melegakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Langkap ini yang secara tidak langsung membolehkannya mengambil keputusan peperiksaan tanpa perlu mengharung air.
“Keputusan peperiksaan saya tidaklah begitu memberangsangkan, tetapi saya tidaklah begitu sedih dan selepas ini bercadang memohon ke sekolah vokasional,” kata anak bongsu daripada lapan beradik itu.
Setakat pukul 1.30 petang ini, pusat pemindahan itu telah ditutup dan semua mangsa sudah pulang ke kediaman masing-masing.
Sementara itu, pusat pemindahan terbaharu yang dibuka di Setiu adalah di surau Kampung Mak Bakas yang ketika ini menempatkan seramai 13 mangsa daripada tiga keluarga. – UTUSAN ONLINE











