Syed Saddiq selar perwakilan jadikan pemberian kontrak tajuk perbahasan - Utusan Malaysia

Syed Saddiq selar perwakilan jadikan pemberian kontrak tajuk perbahasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 30 Dis.- Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyelar perwakilan yang menjadikan isu pemberian kontrak dan jawatan sebagai tajuk perbahasan.

Sambil menyifatkannya tidak masuk akal, katanya terdapat seorang perwakilan tanpa segan silu secara terbuka menyebut terdapat menteri menjanjikan projek di hadapan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Perwakilan Wilayah Persekutuan tadi, sampai berani sebut menteri yang menjanjikan (kontrak).

“Bayangkan itu boleh jadi kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mana boleh, janji (kontrak) pergi jumpa menteri. Perhimpunan UMNO pun tak berani bincang ini (kontrak), mana maruah kita,” katanya dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu Kali Ke-2 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Pada masa sama, Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan mengingatkan perwakilan bahawa kekalahan UMNO dalam pilihan raya lalu kerana rakyat percaya terhadap perjuangan ikhlas Bersatu.

Katanya lagi, lantikan jawatan perlu berdasarkan merit dan kelayakan tanpa mengira fahaman parti politik.

“Tetapi perwakilan sebut tadi jangan beri muka langsung iaitu projek dan lantikan jawatan kepada pembangkang.

“Kita jangan taksub bermusuhan sampai mengabaikan rakyat, tidak kira siapa seorang itu, jika dia rakyat Malaysia dan layak, maka dia boleh dapat,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×