Syarikat kontraktor didakwa cuai hingga sebabkan kematian pelajar - Utusan Malaysia

Syarikat kontraktor didakwa cuai hingga sebabkan kematian pelajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Dua buah syarikat kontraktor didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana melakukan kecuaian sehingga menyebabkan seorang pelajar maut, manakala dua lagi cedera dalam kejadian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman, Gemas pada Februari lalu.

Syarikat MI Yusof Enterprise didakwa gagal menyediakan prosedur kerja selamat bagi penggunaan traktor pemotong rumput jenis Kubota sehingga menyebabkan kematian pelajar perempuan, Nur Afini Roslan, 14, dan kecederaan kepada Abdullah Hazlan,14, serta Mohd. Farhan Reza Badrol Hesam, 13, di padang SMK Tuanku Abdul Rahman pada pukul 10.20 pagi, 13 Februari lalu.

Syarikat Hisham Rais (M) Sdn. Bhd. pula dituduh gagal menyelia penggunaan traktor pemotong rumput tersebut sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan kepada pelajar-pelajar terbabit dalam kejadian yang sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimun RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pengarah MI Yusof Enterprise, Mohd. Yusof Ismail dan Pengarah Hisham Rais (M) Sdn. Bhd., Hishamudin Rais bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Maimoonah Aid.

Akhbar Kosmo! pada 14 Februari lalu melaporkan seorang pelajar perempuan tingkatan dua SMK Tuanku Abdul Rahman, Gemas maut akibat terkena bilah pisau traktor mesin rumput sewaktu sedang menjalani latihan kawad di padang sekolah itu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×