ISKANDAR PUTERI 9 Dis. – Kerajaan negeri akui tarif air di Johor merupakan antara yang tertinggi berbanding negeri lain di seluruh negara.
Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, pihaknya bagaimanapun komited dengan usaha untuk menurunkan kadar tarif air berkenaan.
Bagaimanapun, menurut beliau, kerajaan negeri hanya merupakan pemegang saham minoriti

dalam syarikat penyedia air tunggal iaitu Ranhill SAJ.
“Disebabkan itu, sukar bagi kerajaan negeri untuk melaksanakan perkara ini jika tidak mendapat persetujuan Ahli Lembaga Pengarah syarikat berkenaan.
“Bagaimanapun, kerajaan negeri merancang untuk mewujudkan syarikat air baharu bagi mengelakkan berlakunya monopoli air, namun mekanisme pelaksanaannya sedang dikaji,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungannya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar di sini hari ini.
Osman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas berkata, kerajaan negeri melakukan rundingan secara berterusan dengan Ranhill SAJ agar rakyat dapat menikmati kadar tarif air yang lebih rendah.
“Saya ingin mengingatkan Ranhill SAJ agar berpegang kepada slogan mereka iaitu ‘Setitis Air yang bermakna’.
“Sebarang keputusan yang dibuat berhubung perkara ini perlulah prorakyat dan bukan sebaliknya,” katanya.










