KUALA LUMPUR 30 Nov. – Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan menziarahi Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, yang kini sedang mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) di sini.
Baginda tiba di pekarangan IJN pada pukul 9.10 pagi dengan disambut oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mohamed Farid Md. Rafik.
Yang turut serta menyambut ketibaan baginda ialah Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohamad Hamdan Wahid; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Azman Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Seri Dr. Mohd. Azhari Yakub.
Sultan Nazrin meluangkan masa kira-kira 20 minit meninjau perkembangan terkini Muhammad Adib yang kini masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum berangkat meninggalkan IJN.
Awal pagi Selasa lalu, Muhammad Adib yang berkhidmat sebagai anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya cedera parah, manakala jentera dinaiki turut mengalami kerosakan akibat diserang kumpulan perusuh yang berhimpun di sekitar Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya dekat sini.
Dalam sidang akhbar selepas itu, Mohamad Hamdan berkata, Sultan Nazrin telah bertitah menyatakan dukacita dan kesedihan baginda berikutan insiden yang menimpa anggota bomba berkenaan.
“Baginda mendoakan semoga Muhammad Adib akan pulih dalam masa terdekat ini,” titah baginda.










