BACHOK 22 Dis. – Tindakan Naib Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Ketereh, Mohd. Sukirman Mustapa, mengadakan sidang akhbar dan mengumpul penyokong untuk membantah perlantikan Datuk Seri Mohd. Supardi Md. Noor sebagai Pengerusi PKR negeri yang baharu dianggap melanggar tata cara yang diamalkan oleh parti itu.
Naib Ketua PKR cabang Bachok, Zainudin Ghazali berkata, isu perlantikan yang sengaja dijadikan polimek seharusnya diselesaikan mengikut saluran yang betul.
Menurutnya, rasa tidak puas hati itu tidak perlu didedahkan dalam sidang akhbar dengan mendakwa 13 cabang yang tidak bersetuju dengan keputusan pucuk pimpinan parti.
“Saya mempunyai bukti yang kukuh bahawa perlantikan Datuk Seri Mohd. Supardi Md. Noor dipersetujui 11 ketua cabang yang hadir pada perjumpaan bersama Datuk Seri Anuar Ibrahim di Kuantan pada 12 Disember lepas.
“Sukirman tidak seharusnya mempertikaikan keputusan ini. 13 cabang parti yang didakwanya membuat bantahan adalah tidak munasabah dengan keputusan yang dicapai sebelum ini,” katanya kepada Utusan Online ketika ditemui, di sini, hari ini.
Zainudin berkata, Sukirman seharusnya fokus terhadap perjuangan parti untuk membela kebajikan rakyat dan bukannya bangkit untuk menonjolkan rasa tidak puas hati yang langsung tidak menggambarkan persefahaman.
“Walaupun presiden memiliki kuasa mutlak dalam membuat keputusan dalam hal perlantikan Pengerusi PKR negeri, suara majoriti ketua cabang yang mewakili akar umbi telah diambil kira.
“Saya nafikan kenyataan beliau bahawa 13 cabang turut membantah keputusan pucuk pimpinan parti kecuali hanya segelintir anggota yang sehaluan dengan hala tuju perjuangannya bertindak sedemikian,” katanya. – UTUSAN ONLINE










