IPOH 30 Nov. – Adalah sukar untuk membentangkan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagaimana didakwa oleh kepemimpinan UMNO.
Perkara itu ditegaskan oleh Naib Pengerusi DAP negeri, Dr. Abdul Aziz Bari yang memberitahu, perkara tersebut tidak pernah berlaku dalam pentadbiran kerajaan sejak negara merdeka lebih 60 tahun lalu.
Abdul Aziz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri turut menempelak dakwaan dibuat oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Saarani Mohamad dengan menyifatkannya sebagai satu taktik untuk mengalihkan pandangan rakyat daripada permasalahan dalam UMNO.
“Undi tidak percaya itu susah nak buat. Saya nak tanya, sejak 60 tahun merdeka ada atau tidak undi tidak percaya pernah dibuat?
“Ini kerana perkara itu sesuatu yang bukan mudah, nak ke sana ke mari berkempen nak jatuhkan orang. Saya harap kawan-kawan dalam Pakatan Harapan (PH) tidak termakan dengan gimik beliau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Penganjuran Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Ke-9 (Pulara) di sini, hari ini.
Seramai 200 peserta dari 19 negara menyertai Pulara 2018 bertemakan ‘Pulara Mendunia’ yang berlangsung kelmarin hingga Ahad ini di Pusat Konvensyen Amanjaya, Hotel Casuarina@Meru di sini.
Pada masa yang sama, Abdul Aziz yang sebelum ini diuar-uarkan kononnya bakal menggantikan Ahmad Faizal meminta Saarani menghentikan gimik tersebut kerana tiada sesiapa yang akan dibeli dari PH.
Beliau turut menggesa rakan-rakannya dalam PH supaya tidak mempedulikan Saarani yang disifatkannya sebagai suka menggangu dan ‘menggeletek’ mereka.
“Mungkin masih ada yang trauma dengan insiden 2009, tapi dalam politik kita kena belajar dan teruskan, jangan terbawa-bawa serta terikut-ikut dengan apa yang dilakukannya. Ini hanya bom asap yang dibuat Saarani untuk mengalihkan pandangan dalam keadaan UMNO terkapai-kapai ketika ini,” katanya.










