Suhakam gesa layanan adil terhadap LGBT - Utusan Malaysia

Suhakam gesa layanan adil terhadap LGBT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Dis. – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menggesa semua pihak memberi layanan yang adil terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), terutamanya apabila mereka ditahan di dalam pusat tahanan.

Pesuruhjaya Suhakam, Dr. Nik Salida Suhaila Nik Salleh berkata, semua orang mempunyai hak untuk dilayan dengan adil seperti yang dijamin dalam undang-undang negara.

“Ini bukan bermakna Suhakam menyokong perkahwinan sejenis dan juga seks songsang, tetapi kami amat menitikberatkan hak individu termasuk golongan LGBT ini sering di salah gunakan oleh pihak tertentu.

“Data yang diperoleh melalui kajian selama dua tahun terhadap golongan ini mendapati golongan itu didiskriminasi dan hak mereka sebagai individu tidak dapat dipenuhi,” katanya semasa pembentangan laporan tahunan 2017 Suhakam di sini hari ini.

Laporan tahunan 2017 Suhakam merangkumi kajian beberapa aspek termasuk kemasyarakatan, pendidikan, hak asasi manusia dan undang-undang.

Menurut Suhakam, berdasarkan penyelidikan itu, golongan LGBT menerima diskriminasi dalam lima sektor iaitu maruah, pendidikan, pekerjaan, kesihatan dan hak untuk perumahan.

Jelas Nik Salida, pihak Suhakam sentiasa peka terhadap isu berkaitan dengan golongan LGBT tersebut berikutan golongan itu memerlukan bantuan Suhakam.

“Jadi untuk menangani masalah ini, kami bukan sahaja meminta bantuan daripada agensi agama malah melibatkan semua agensi untuk bekerjasama dengan Suhakam.

“Kami menerima maklum balas yang baik daripada agensi-agensi ini untuk turut sama menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh golongan LGBT,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×