Suami isteri dijemput ajal bersama - Utusan Malaysia

Suami isteri dijemput ajal bersama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG – Seorang imam sebuah masjid dan isterinya ditemui meninggal dunia oleh anak pe­rempuan mereka ketika sedang tidur di dalam bilik di rumah mereka di Kampung Chokro, Simpang Renggam dekat sini awal pagi semalam.

Bera Madira, 78, yang juga imam Masjid Jamek Simpang Renggam dan isterinya, Siti Munah Damin, 66, ditemui tidak sedarkan diri oleh anak bongsu mereka pada pukul 5 pagi.

Difahamkan, Bera mempunyai masalah diabetis manakala isterinya menghidap kanser limfoma.

Menurut anak sulung pasangan itu, Mohamad Farid, 50, berita me­ngenai kematian kedua ibu bapa­nya hanya di­sedari apabila adik perempuannya cuba mengejutkan Allahyarham untuk mengimamkan solat Subuh di masjid.

Jarak antara rumah Allahyarham dengan Masjid Jamek Simpang Renggam kira-kira 1.5 kilometer.

“Lazimnya, bapa akan ba­ngun sebelum subuh untuk menjadi imam di masjid, tetapi pada pagi ini (semalam), bapa tidak bangun sehinggakan adik bongsu cuba mengejutkan mereka.

“Bagaimanapun, adik mendapati bapa dan ibu tidak sedarkan diri menyebabkan dia memanggil kami dan menghubungi pihak hospital.

“Pasukan perubatan yang tiba kemudian mengesahkan bapa dan ibu telah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Mohamad Farid membe­ritahu, keluarganya tidak pasti siapa yang meninggal dunia terlebih dulu kerana pasangan itu masing-ma­sing ditemui dalam kea­daan tidak sedarkan diri.

Tambahnya, sebelum kejadian, ibu bapanya tidak menunjukkan sebarang perubahan walaupun menghidap beberapa pe­nyakit sejak sekian lama.

“Bapa memang tidak ada penyakit yang serius sehingga menjejaskan ke­sihatannya, begitu juga ibu saya. Bapa juga tidak memberi sebarang tanda untuk pergi meninggalkan kami.

“Apapun, saya dan keluarga reda. Mungkin ada hikmah di sebalik kejadian ini,” katanya yang tinggal berdekatan dengan rumah ibu bapanya.

Ujar Mohamad Farid, bapanya merupakan seorang ahli agama yang di­segani dan pernah menjadi guru di Sekolah Kebangsaan Simpang Renggam.

“Amanat yang paling diingati ialah arwah selalu berpesan agar jaga tingkah laku dan jangan lupa sembahyang.

“Saya ber­syukur kerana urusan pengebumian berjalan lancar dan kedua-dua jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Berumbung pada pukul 10.30 pagi tadi (semalam),” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN