KUALA LUMPUR 10 Dis. – Stok simpanan minyak sawit Malaysia pada akhir November naik melebihi tiga juta tan metrik susulan penurunan mendadak dalam eksport yang dilihat menjadi faktor peningkatan jumlah stok komoditi berkenaan.
Menurut laporan Reuters, data rasmi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan stok minyak sawit bulan lalu meningkat 10.5 peratus kepada tiga juta tan berbanding Oktober dan jumlah itu merupakan yang tertinggi dalam tempoh 18 tahun.
“Peningkatan rizab minyak sawit boleh meningkatkan harga bahan komoditi itu, yang jatuh pada sesi kedua dagangan pada Isnin,” katanya di sini hari ini.

Berdasarkan tinjauan yang dibuat Reuters pada awal bulan lalu ke atas lapan peladang, pedagang dan penganalisis menunjukkan stok minyak sawit Malaysia akan mencecah paras tiga juta tan.
Ketua Eksekutif Arcis Global Merchants Pte. Ltd., Santhosh Kumar berkata, jumlah stok akhir yang dicatatkan adalah selari dengan unjuran yang dibuat tetapi penurunan lebih enam peratus dalam pengeluaran adalah sesuatu yang mengejutkan.
“Banyak pihak mengunjurkan penurunan sekitar tiga peratus,” katanya.

Data MPOB menunjukkan pengeluaran minyak sawit pada November susut 6.09 peratus daripada bulan sebelumnya kepada 1.85 juta tan manakala eksport menyusut 12.9 peratus kepada 1.375 juta tan.
Permintaan bagi minyak sawit secara amnya menyusut pada suku terakhir tahun ini disebabkan suhu sejuk di pasaran utama seperti China dan Eropah yang menyebabkan minyak berkenaan mengeras dan situasi ini memaksa pembeli mencari minyak alternatif daripada sumber komoditi yang lain. – REUTERS










