PUTRAJAYA 10 Dis. – Ahli perniagaan kontroversi, Datuk Seri Stanley Thai dan J. Deepak adalah antara individu yang menderma dengan membida gambar-gambar pemimpin Pakatan Harapan (PH) dalam Majlis Makan Malam Amal PH di Putrajaya, malam tadi.
Stanley yang merupakan Pengasas salah sebuah syarikat pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia, Supermax Corporation Berhad, membeli gambar Tun Dr. Mahathir Mohamad memulakan tugasnya sebagai Perdana Menteri pada harga bidaan RM350,000.
Pada 22 April lalu kurang sebulan dari tarikh Pilihan Raya Umum ke-14, Stanley memohon maaf kepada Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana menyokong pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.
Deepak, seorang jutawan permaidani, pula membeli gambar potret hitam putih Timbalan Perdana Menteri, Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada harga RM150,000.
Nama Deepak menjadi terkenal apabila beliau dikaitkan dengan penyiasat persendirian, mendiang P. Balasubramaniam yang dikatakan diupah oleh penganalisis politik, Abdul Razak Baginda dan kemudiannya dibebaskan pada 2006 dalam kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Namun, jualan tertinggi dalam majlis itu ialah gambar sidang akhbar pertama Tun Dr. Mahathir selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri bersama pemimpin PH pada Mei lalu, yang mencatatkan bidaan RM500,000.
Potret tersebut dibeli oleh Pengarah Urusan Platinum Victory Sdn. Bhd., Datuk Seri Gan Yu Chai yang syarikatnya terlibat dalam pembangunan projek kediaman Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) di bawah kerajaan terdahulu.
Gambar Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dibeli oleh Pengerusi Eksekutif Metro Kajang Management Sdn. Bhd., Datuk Alex Chen Kooi Chew pada harga RM110,000.
Pengarah Urusan Metro Kajang, Tan Sri Eddy Chen dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia pada 1 Oktober lalu.
Gambar Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan bapanya, Lim Kit Siang telah dijual pada harga RM100,000 kepada warga China yang hanya dikenali sebagai ‘Hwang’ manakala gambar Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu pula dibeli individu bernama Salahuddin dari Pahang yang membida RM10,000.
Dalam majlis itu, Wan Azizah mengumumkan acara tersebut berjaya mengutip sebanyak RM1.665 juta menerusi penjualan 156 buah meja.









