KUALA LUMPUR 27 Dis. – Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan memberi tumpuan kepada usaha untuk memperkasakan lagi golongan wanita dalam era Malaysia baharu.
Malah, sayap wanita parti itu juga mahu mengorak langkah lebih agresif dan tampil menjadi wadah bagi melaungkan suara golongan berkenaan.
Itu merupakan hasrat Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd. Harun dalam Perhimpunan Agung Tahunan Kedua parti itu yang akan bermula esok sehingga Ahad ini.
Jelas beliau, Srikandi juga akan terus cuba mendekatkan diri dengan masyarakat terutamanya golongan wanita dalam usaha memastikan perjuangan parti Melayu itu diteruskan.
“Sebagai sayap wanita, kita lihat isu yang akan dibincangkan kali ini akan tertumpu kepada soal politik, pendidikan dan ekonomi. Srikandi mesti dilihat menjadi wadah suara kepada wanita.
“Jika sewaktu ditubuhkan hampir dua tahun dahulu, kita berusaha memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sekarang kita mahu mengisi pula kemenangan itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Segak ke Sekolah: Jom Gunting Rambut di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jelatek di sini hari ini.










